bayaran khas rm1500 penjawat awam tarikh pembayaran

Bayaran khas RM1,500 untuk penjawat awam

Bayaran khas RM1,500 untuk penjawat awam – renungan syukur

Isnin lalu 8 Jan, rata-rata penjawat awam menerima pembayaran khas sebanyak RM1000 seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Negara 2018 oleh YAB PM pada 27 Oktober 2017. Mungkin ada berkata apalah sangat pemberian sebanyak RM1000 jika dibandingkan bonus sebanyak sebulan atau sebulan setengah gaji seperti yang ditawarkan oleh sesetengah Kerajaan Negeri atau bonus berbulan gaji bagi syarikat-syarikat GLC, GLIC atau swasta yang lain baik multinasional atau bertaraf PKS tempatan mahupun luar. Beruntunglah buat mereka yang penjawat kebajikan sentiasa terjaga walaupun mungkin tidak sebaik sesetengah syarikat lain yang menawarkannya. Namun keseluruhannya ia tetap baik. Justeru perlu bersyukur.

Perkelehan atau pelecehan terhadap apa yang diperolehi dengan membuat perbandingan pula adalah perbuatan tidak bertanggungjawab. Akan tetapi jangan lupa, hakikatnya banyak lagi syarikat yang tidak mampu memberikan sebarang bonus atau imbuhan atau insentif tambahan akibat kekangan tertentu. Gaji pun adakala tidak dibayar tepat pada masa. Bagi saya banyak atau sedikit pemberian tersebut wajarlah disambut dengan kesyukuran dan berterima kasih. Bukanlah untuk mengampu tetapi sebagai orang yang beragama wajarlah berakhlak dengan menghormati setiap pemberian. Allah menjanjikan mereka yang bersyukur dengan pemberianNya menerusi sesiapa pun wakilNya maka Allah akan menambahkan berlipat kali ganda kurniaNya. Jika sebaliknya Allah menjanjikan azabNya yang keras.

Penerimaan setiap dari kita berbeza. Ada orang yang terlalu mengharapkan pembayaran khas tersebut bagi menampung sedikit bebanan selepas mengeluarkan perbelanjaan banyak bagi persekolahan anak-anak, memperbaharui insurans dan cukai jalan kenderaan, servis kenderaan, membayar apa jua tunggakan hutang dan lain-lain perbelanjaan yang mendesak. Ada juga yang membuat tabungan atau simpanan sebahagian dari bayaran khas tersebut. Dan ada juga yang bermewahan dengan membeli apa jua bagi memenuhi kehendak diri.

Ya kita tidak boleh menghalang mereka dari berbelanja kerana setiap dari kita berbeza keperluan dan kehendak. Syukurlah kepada yang bijak dalam pengurusan kewangan namun bagaimana pula yang tidak mengurus kewangan. Sudahnya sebelum memasuki pertengahan bulan, duit pun sekadar untuk makan meggi dan ada yang membuka buku hutang baru. Lantaran itu kena ada sikap berbelanja dibawah kemampuan disebalik kemampuan kita berbelanja.

Bukanlah kita menyemai sikap kedekut dengan mengurangkan perbelanjaan tetapi berhemah dalam berbelanja. Lihat pada keutamaan. Jika ada lebihan selepas ditolak dengan penabungan maka barulah difikirkan untuk berbelanja bagi kehendak tersebut. Siapalah kita untuk mempertikaikan rezeki yang Allah bagi kepada kita atau pihak yang menerima.

Ia bukan terletak pada banyak atau sedikit yang kita terima tetapi pada keberkatan yang ada pada nilai rezeki tersebut. Keberkatan itulah yang mencukupkan rezeki sama banyak atau sedikit. Maksud cukup disini jika banyak, sampai kita boleh berkongsi dengan orang lain dan jika rezeki itu sedikit juga cukup untuk kegunaan keluarga atau diri sendiri. Lebih bermanfaat lagi rezeki itu kita zakatkan atau sedekahkan atau infak atau wakafkan bagi membantu saudara seagama mengikut kadar yang ditetapkan dan kemampuan.

Perlu diingatkan bahawa dalam setiap ringgit yang kita terima ada hak orang lain di dalamnya. Allah tidak melihat berapa banyak atau sedikit yang kita terima tetapi Allah melihat berapa banyak yang kita manfaat dari yang kita terima untuk kebaikan orang lain dan persekitarannya.

Nukilan.

Kamarul Faizal

Leave a Reply

Your email address will not be published.